Tarikh kemaskini: 08/07/2019KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh untuk meraih peluang daripada Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, tetapi ia perlu bersedia untuk mendorong kepada transformasi digital sektor pembuatan negara, kata perunding industri.
Pengasas Lean Smart Industry Solutions PLT Dr Azlan Nithia berkata perubahan teknologi adalah luas dan boleh menjadi rumit.
Sehubungan itu, katanya usaha bersepadu perlu diambil untuk turut meningkatkan penggiat industri pembuatan.
“Kita juga perlu menggalakkan perbincangan dan kesedaran kepada pembangunan teknologi dan peluang, berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk mewujudkan pulangan pelaburan yang wajar, supaya negara mendapat kedudukan kepimpinan dan tidak ketinggalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan gagal untuk melakukan transformasi dengan cepat dan menerima pakai IR 4.0 akan menyebabkan kehilangan kepentingan ekonomi dan peluang negara.
Menurut laporan Kesediaan kepada Masa Depan Pengeluaran Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia antara 25 negara yang dinilai berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada keadaan pengeluaran yang berubah.
Laporan itu menilai bagaimana ekonomi global yang berada dalam kedudukan baik membentuk dan meraih manfaat daripada perubahan dalam pengeluaran yang didorong oleh IR 4.0.
Sementara itu, Lean Smart, penyedia latihan pembuatan pintar dan maju, akan menganjurkan Persidangan Pembuatan Pintar Antarabangsa 4.0 (ISMC2019) dari 18-20 Sept ini.
Persidangan selama tiga hari itu akan membincangkan mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri pembuatan di Malaysia dan terdapat pembentangan mengenai dasar, penyelidikan dan kajian kes oleh penceramah dan ahli panel terkemuka.